Wednesday, April 9, 2008

iPAK Melahirkan Pendidik Kanak-Kanak Cemerlang

Utusan Malaysia 22 MARCH 2007 - iPAK Melahirkan Pendidik Kanak-Kanak Cemerlang

Kurikulum Perkembangan Awal Kanak-Kanak yang ditawarkan oleh Institut Perkembangan Awal Kanak-Kanak (i-PAK) menyediakan pelajar untuk menceburi bidang yang berkaitan dengan pengasuhan, perkembangan dan pendidikan awal kanak-kanak.

Image Ini dilaksanakan menerusi pengajaran dan pembelajaran serta aplikasi berkaitan bidang perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak, keperluan fizikal dan nutrisi kanak-kanak, serta bimbingan dan komunikasi dengan kanak-kanak dan keluarga.

Program-program latihan yang ditawarkan oleh Institut Perkembangan Awal Kanak-Kanak (i-PAK) adalah dibangunkan melalui penyelidikan yang teliti dan menyeluruh dengan kualiti tinggi.

Setiap kursus dalam program ini dihasilkan khas bagi mencapai satu atau lebih kecekapan dalam bidang Perkembangan Awal Kanak-Kanak.

Setiap pelajar yang telah mengikuti pengajian dalam Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak i-PAK dijangka akan mempunyai kemahiran-kemahiran berkaitan melalui pencapaian yang boleh dibuktikan.

Pembelajaran melalui penguasaan kemahiran yang memberikan penekanan dalam membantu para pelajar untuk mempelajari kandungan kursus dengan lebih efektif. Ini memudahkan pembelajaran bagi mereka yang mempunyai gaya belajar dan keupayaan yang berbeza-beza.

Pensyarah-pensyarah dan tenaga pengajar dalam Program Perkembangan Awal Kanak-Kanak i-PAK akan memberikan peluang kepada para pelajar untuk membuktikan penguasaan masing-masing terhadap kandungan kursus yang telah diperoleh.

Institut Perkembangan Awal Kanak-Kanak sentiasa berusaha untuk mewujud dan mengekalkan komuniti pelajar penyayang yang bertanggungjawab serta berdedikasi terhadap kualiti dan amalan terbaik dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak.

Kurikulum Perkembangan Awal Kanak-Kanak direka dengan memberikan penekanan kepada kejayaan serta perkembangan kerjaya pelajar tersebut. Seseorang pelajar boleh memulakan program ini dengan matlamat untuk mendapatkan Diploma.

Mereka juga boleh bermula dari Sijil Perkembangan Awal Kanak-Kanak (Kemahiran) ataupun Sijil Pengurusan Perkembangan Awal Kanak-Kanak (Profesional). Selepas itu, mereka boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan seterusnya peringkat Ijazah sama ada daripada universiti tempatan atau luar negeri.

Para pelajar digalakkan berinteraksi dengan penasihat akademik masing-masing yang akan membantu para pelajar untuk menentukan hala tuju kerjaya dan mencadangkan kerja-kerja kursus yang bersesuaian dengan minat pelajar masing-masing.

Setelah mengikuti program di Institut Perkembangan Awal Kanak-Kanak dengan jayanya, graduan Institut Perkembangan Awal Kanak-Kanak dijangka akan berupaya untuk:

  • Mengamalkan gaya kerja yang professional dan beretika.
  • Mewujudkan perhubungan saling menghormati dan berkerjasama diantara ahli keluarga.
  • Merancang dan melaksanakan pengalaman berteraskan penilaian bagi merangsang perkembangan semua kanak-kanak termasuklah penyesuaian diri terhadap suasana umum.
  • Mengaplikasikan pengetahuan dalam perkembangan dan pendidikan awal kanak-kanak.
  • Menggalakkan penglibatan komuniti yang menyokong kanak-kanak, keluarga dan pengiat pendidikan awal kanak-kanak.
  • Melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab tambahan yang berkaitan dengan program-program pendidikan awal kanak-kanak.
  • Mewujud dan mengekalkan suasana yang sihat serta selamat kepada kanak-kanak.
  • Menyediakan suasana pengajaran yang optimum bagi menyokong keperluan semua golongan kanak-kanak.
  • Berinteraksi dan menyokong perkembangan kemahiran komunikasi dan bahasa kanak-kanak.
  • Menyediakan sokongan yang positif dalam perkembangan menyeluruh (sosial, kerohanian, intelek, fizikal dan emosi) kanak-kanak.
  • Menunjukkan keupayaan untuk menggabungkan teknologi yang bersesuaian dengan persekitaran kanak-kanak.